19 Januari, 2009

Program Beasley tunjuk hasil Oleh Zairee Zahir bhsukan@bharian.com.my

Azizul (tengah) menjuarai dalam acara keirin.

Rizal Tisin (tengah) menjuarai dalam acara 1 Km ujian masa.

Skuad pecut negara di landasan tepat untuk menyinar pada Kejohanan Dunia

SEJARAH membawa pulang dua pingat emas dan tambahan 30 mata dikutip di Pusingan 4, Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia UCI di Velodrom Laoshan, semalam, meletakkan skuad pecut negara di landasan tepat untuk menyinar pada Kejohanan Dunia di Poland, Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bersama Pembangunan Trek Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) dan Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Naim Mohamad berkata, pencapaian memberangsangkan dipamer skuad lima pelumba trek elit termasuk seorang pelumba wanita, membuktikan program pembangunan jangka panjang itu mula membuahkan hasil tahun ini.

"Program di bawah jurulatih John Beasley untuk persediaan Olimpik London 2012 ini mula menuai hasil dan kita berharap pelumba akan mencapai kemuncak pada temasya itu. Tetapi pada masa yang sama, kita harus menyediakan barisan pelapis untuk Olimpik 2016.

"Antara program yang sedang dipertimbangkan ialah membentuk pasukan profesional dianggotai pelumba elit dan pasukan kebangsaan yang terdiri daripada pelumba pelapis," katanya ketika dihubungi semalam.

Naim yang juga Timbalan Presiden MNCF berkata, kejayaan Azizulhasni Awang yang mengulangi penguasaan dalam acara keirin di Beijing kelmarin, serta kemampuan Rizal Tisin memenangi emas 1km ujian masa, membuktikan mutu kayuhan pelumba negara semakin meningkat.

"Sejarah terukir apabila Azizulhasni memenangi emas pertama di Melbourne tetapi ia menjadi lebih bermakna apabila Azizulhasni dan Rizal memenangi emas dalam satu kejohanan," kata Naim.

Menurutnya, lebih membuatkan pemergian skuad pecut negara bertambah manis ialah selepas melihat buat kali pertama, pelumba pecut wanita tunggal, Fatehah Mustapha, mengorak peningkatan ketara dengan kejayaan melangkah ke perlumbaan final acara keirin sekalipun terpaksa berpuas hati di tangga keempat pada hari terakhir semalam.

Sepanjang tiga hari kejohanan dan selain 12 mata penuh yang dikutip menerusi kemenangan Rizal Tisin, Josiah Ng mengutip 2 mata dalam acara pecut 200 meter, trio Pecut Berpasukan mengutip 6 mata dan Fatehah mengutip 7 mata dari acara keirin dan 3 mata dari acara 500 ujian masa.

Pungutan mata Azizulhasni yang mengutip mata penuh dalam acara keirin dan 4 mata dalam acara pecut 200 meter tidak dimasukkan ke dalam senarai skuad Malaysia kerana didaftarkan mewakili pasukan profesional Bike Technologies Australia (BTA).

Selepas mengumpul 34 mata pada pusingan kedua kejohanan itu di Melbourne dan 21 mata lagi di Beijing, Malaysia kini menduduki tangga ke-23 keseluruhan dengan 55 mata sambil menyaksikan pelumba negara berpeluang cerah layak ke Kejohanan Trek Sedunia di Pruskow, Poland, 25 sehingga 29 Mac ini.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Secara peribadi saya amat berbangga dan terharu dengan kejayaan Rizal, Azizul dan seluruh warga Sukan Basikal Malaysia di atas kejayaan gemilang yang dicipta oleh anda.

Sekalong tahniah kerana anda semua telah banyak mengerah keringat demi mengharum nama negara.

HambaAllah.

gojiaced berkata...

saya juga mengucapkan tahniah wat aizulhasni da PBNT atas berjaya melahirkan atlet yg berjaya.. di sini sy juga mengambil ksempatan untuk atlet bhw sy tidak berpeluang untuk menyertai basikal trek kerana kekurangan kemudahan..bila sudah berumur 24 thn sy masih lagi minat dan mengikuti perkembangan lumba basikal negara...semoga anda berjaya pada masa hadapan ..gunala peluang yang ada dan jgn sia-siakan...