BARISAN pelumba negara dituntut berusaha keras membuktikan kewibawaan bagi memastikan tempat dalam pasukan negara pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi 2009 terjamin.
Pengerusi Eksekutif LTdL, Abu Samah Abd Wahab berkata, hingga kini pihaknya masih belum memutuskan senarai akhir pelumba dan keputusan hanya diketahui Jumaat minggu depan.
Bagaimanapun, senarai itu bergantung sepenuhnya kepada sesi pemilihan oleh jurulatih kebangsaan, Jamaluddin Omar bersama Ng Joo Ngan serta ketua jurulatih, John Beasley.
“Selepas acara lebuh raya dimasukkan di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN), pelumba berbakat tempatan dapat disatukan dengan menjalani latihan lebih tersusun,” katanya.
Sementara itu, Joo Ngan menafikan khabar angin bahawa pelumba pasukan kebangsaan dan pasukan MCF yang akan bersaing pada LTdL edisi ke-14 dari 9 hingga 15 Februari depan sudah diputuskan.
“Kami tidak mahu melakukan pemilihan tergesa-gesa kerana kami mahu pelumba berusaha keras dengan mempamerkan prestasi terbaik sebelum satu perbincangan diadakan bagi memutuskan siapa yang terpilih,” katanya.
Perlumbaan kali ini merangkumi jarak 1,029.9km akan mempertandingkan tujuh peringkat laluan bermula di Putrajaya ke Senawang (peringkat pertama), Senawang ke Melaka (peringkat kedua), Melaka ke Melaka (peringkat ketiga); Melaka ke Bandar Baru Bangi (peringkat keempat).
Petaling Jaya ke Genting Highlands (peringkat kelima), Batang Kali ke Shah Alam (peringkat keenam) dan Kriterium Kuala Lumpur (peringkat ketujuh).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan