04 Januari, 2009

Kemelut Kok Chi Selar MSN Semakin Hangat - Petikan Dari Berita Harian.


PADA ketika Datuk Sieh Kok Chi sudah memperjelaskan pendiriannya dan juga Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkaitan penyertaan atlit ke Sukan Sea XXV Laos, tampil sekali lagi Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong dengan hujah masing-masing.

Tatkala kenyataan terbaru Ismail Sabri lebih terarah kepada mengkritik MOM kerana tidak memperjuangkan pembangunan sukan negara dengan tunduk kepada semua kehendak tuan rumah, Zolkples pula memberikan hujah kepada fakta dan rasional.

“Saya ingin membetulkan beberapa fakta yang saya anggap tidak tepat dikeluarkan Kok Chi, semalam,” kata Zolkples. “Pertama, MSN menyedari dalam pemilihan ke Sukan Sea terdapat syarat yang sudah ditetapkan dan MSN sentiasa menghormatinya.

“Tetapi jika kita amati ketika pemilihan atlit ke Sukan Sea Korat dua tahun lalu apabila ada sukan seperti badminton menghantar barisan pelapis, begitu juga dengan hoki, MOM tidak pula merungut ataupun membantah.

“Selain itu, cadangan untuk menghantar barisan pelapis ke Sukan Sea Laos dibuat berdasarkan mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN 2008/09 yang turut dihadiri wakil MOM iaitu Low Beng Choo yang turut bersetuju dengan keputusan yang diambil.

“Ketiga ialah perkara ini turut dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak awal Disember lalu, yang bersetuju supaya keutamaan tidak lagi kepada Sukan Sea sebaliknya kepada Sukan Olimpik, Asia dan Komanwel," kata Zolkples.

Ketua Pengarah MSN itu turut menafikan persatuan sukan kebangsaan disisihkan daripada membuat keputusan mengenai pemilihan atlit, sebaliknya MSN dalam pertemuan dengan semua persatuan sukan kebangsaan pada November lalu, meminta mereka untuk menyenaraikan barisan atlit yang akan menyertai Sukan Sea Laos, Komanwel dan Asia 2010.

“Saya juga ingin membetulkan fakta Kok Chi yang menyatakan kita tidak banyak kehilangan pingat di Laos kerana hanya bowling dan skuasy tiada dalam senarai sebalik kita hilang hampir 30 pingat kerana sukan lain seperti ekuestrian, gimnastik (artistik dan berirama) dan lumba basikal tidak dipertandingkan.

“Selain itu, ini baru peringkat cadangan dan saya bersedia membentangkan perkara ini pada mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM yang akan datang untuk mencapai satu keputusan. Saya berharap isu tidak akan berpanjangan dan boleh diselesaikan melalui perbincangan dengan MOM.” kata Zolkples.

Bagi Ismail Sabri pula, kegagalan MOM membela sukan negara juga menyaksikan negara kehilangan sekurang-kurangnya 32 prospek emas untuk negara selepas tuan rumah banyak menggugurkan acara penting dan sebaliknya menggantikannya dengan sukan tradisi.

“Alasan tuan rumah tidak berkemampuan (untuk anjur acara tertentu) sebenarnya ada yang boleh kita terima dan ada yang perlu ditolak. Umpamanya acara basikal - tidak mengapa kalau mereka tiada velodrom tetapi mengapa tidak anjurkan berbasikal jalan raya.

“Jadi kita tidak anggap Sukan Sea Laos sebagai penting serta boleh dijadikan fokus. Biarlah atlit pelapis menyertainya,” katanya selepas merasmikan Dataran Remaja di Kompleks Sukan Bukit Jalil semalam.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Jangan sampai atlet negara menjadi mangsa....!!!!

Hamba Allah.

East Coast Cycling Team berkata...

Mudah mudahan tak lah sampai jadi macam tu....!!!!!