07 Ogos, 2008

SEBUTIR PINGAT DARI BASIKAL ?








Petikan dari akhbar Kosmo





JOSIAH DAN AZIZUL akan mengalas cabaran dalam acara keirin




ANDAINYA prestasi semasa dijadikan ukuran, tidak mustahil skuad lumba basikal trek negara mampu menyumbang pingat pada Sukan Olimpik XXIX di Beijing.
Daripada empat pelumba yang berjaya melayakkan diri, peluang Azizulhasni Awang lebih besar berbanding tiga lagi sepasukan iaitu Josiah Ng, Mohd. Rizal Tisin dan Muhammad. Edrus Md. Yunus,
Ketika ini Azizulhasni, 20, berada pada kedudukan terbaik terutamanya selepas bergelar juara Asia disamping mencatat rekod baru kebangsaan dan Asia pada kejohanan dunia di Manchester.
Selain beraksi dalam acara pecut individu, pelumba berusia 20 tahun kelahiran Terengganu ini juga diberi tugas untuk menggalas cabaran dalam acara pecut berpasukan dan keirin.
Ini adalah satu penghormatan yang besar buat Azizulhasni kerana jika pengalaman dijadikan ukuran, Josiah Ng, 28, lebih layak untuk memikul tugas itu.
Namun bagi Josiah Ng, penampilan di Beijing cukup bermakna selepas berjaya ke peringkat akhir dalam acara keirin pada temasya di Athens empat tahun lalu.
Manakala bagi Rizal, 24, dan Edrus, 19, yang beraksi dalam acara pecut berpasukan, penampilan pertama pada temasya sukan terbesar di dunia ini tidak akan dipersia-siakan.
Jurulatih trek negara, John Beasley berkata, hasil pemerhatian sepanjang lebih sebulan berlatih di Valencia, Sepanyol dan Jerman baru-baru ini, Azizulhasni menduduki tempat teratas dari segi kayuhan dan kepantasan berbanding tiga pencabarnya itu.
AZIZULHASNI antara pelumba yang bakal mencipta kejutan.
Malah Pengurus Pasukan ke Olimpik, Abu Samah Wahab mengakui Azizulhasni memiliki peluang lebih cerah untuk menang pingat meskipun masih cetek dari segi pengalaman.
“Kita telah menilai bahawa Azizulhasni berada pada tahap paling baik ketika ini untuk menang pingat menerusi acara keirin dan pecut individu.
“Tetapi secara keseluruhan, keempat-empat pelumba kita sudah mencapai standard dunia dan hanya dipisahkan beberapa saat sahaja berbanding jaguh-jaguh trek dunia yang ada ketika ini,”
Lantaran itu, Abu Samah berkata, menjadi harapan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) agar Azizulhasni mendapat sokongan kuat daripada tiga rakan sepasukannya untuk merealisasikan impian itu.
Malah Josiah Ng yang dianggap lebih berpengalaman dalam pasukan itu tidak dapat untuk menandingi keupayaan Azizulhasni.
“Dengan prestasi yang sedang memuncak, Azizulhasni sudah tidak sabar-sabar untuk turun beraksi.
“Dia juga pernah beritahu saya bahawa dia sudah cukup bersedia untuk berlumba di Beijing. Kita harap dia mampu melakukannya,” kata presiden PKBM itu.
Berdasarkan rekod, bekas jaguh trek negara, Rosman Alwi pernah beraksi pada temasya Sukan Olimpik di Los Angeles pada tahun 1984 dan Seoul 1988.
Manakala M. Kumaresan turut beraksi di Seoul 1988 bersama Rosman dan Barcelona pada tahun 1992.
Malangnya sukan lumba basikal masih belum mampu menyumbang pingat meskipun mempertaruhkan lapan pelumba, Andrew Michael, Choy Mow Thin, Supaat Hamid, Salam Kamsari, Ng Joo Pong, Zain Safaruddin, Stephen Lim Tian San dan Tuow Choon Boon pada penampilan pertama di Tokyo pada tahun 1964.

1 ulasan:

Taman Selasih berkata...

Semoga kali ini skuad berbasikal Malaysia mampu untuk membawa balik sekurang kurang sebutir pingat emas. Semoga berjaya....Malaysia Boleh.....Dungun pooooong boleh..!!