06 Ogos, 2008

BERITA BERNAMA

Fungsi MSN, ISN bercanggah

KUALA LUMPUR - Seorang pakar Sains Sukan mendakwa program untuk melahirkan atlet cemerlang di negara ini semakin malap kerana percanggahan fungsi antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).
Pengerusi Lembaga Kejurulatihan Kebangsaan, Sheikh Kamaruddin Sheikh Ahmad berkata, 90 peratus daripada tugas mengenal pasti keupayaan atlet sebenarnya adalah tanggungjawab ISN dan bukannya MSN.
"Tetapi menurut amalan sekarang, fungsi tersebut diambil alih oleh MSN dan ISN hanya pelengkap atau tempelan kepada program pembangunan atlet. Ini salah satu sebab atlet Malaysia semakin ketinggalan dalam pembangunan sains sukan," katanya, semalam.
Beliau berkata, persatuan sukan tempatan sepatutnya berhubung dengan ISN terlebih dahulu bagi membolehkan institut tersebut melakukan kajian terhadap potensi atlet seperti kebolehan fizikal, mental, psikologi, bio-mekanik dan perubatan sukan.
Selepas itu, katanya, barulah atlet diserahkan kepada MSN untuk digilap kerana MSN sepatutnya berperanan sebagai pengurus atlet dalam menyediakan program latihan berterusan.
"Tetapi kini, persatuan terus berhubung dengan MSN dan meminggirkan ISN.
"Nama ISN hanya timbul bila dijadikan tempat rujukan bila berlaku kecederaan ataupun bila mahu melakukan ujian doping," katanya.
Sheikh Kamaruddin mendakwa amalan tersebut berlaku kerana ISN tidak diberikan geran kewangan yang banyak sementara MSN pula bertindak sebagai 'pay master' atau majikan yang menentukan pemberian geran tahunan kepada persatuan sukan.
Kerana itulah, katanya, atlet Malaysia tidak begitu cemerlang kerana tidak mendapat bantuan sepenuhnya daripada kemudahan sains sukan dan cuma bergantung kepada kemahiran dalam sesuatu acara sukan.
"Malaysia sebenarnya mempunyai kelengkapan sains sukan yang mencukupi untuk melahirkan atlet cemerlang tetapi tidak digunakan sepenuhnya, sama ada tiada tenaga pakar atau jurulatih tidak tahu bagaimana untuk menggunakan kepakaran di ISN untuk membantu atlet," katanya.
Sheikh Kamaruddin berkata, tindakan Kementerian Belia dan Sukan memindahkan Lembaga Kejurulatihan Kebangsaan yang sebelum ini di bawah pentadbiran ISN ke MSN memburukkan lagi keadaan ketika pelbagai usaha dibuat untuk menaikkan tahap kecemerlangan sukan di negara ini.
Beliau berkata, bidang kejurulatihan berkait rapat dengan sains sukan dan langkah memindahkan lembaga tersebut ke MSN merupakan satu langkah ke belakang dalam memajukan sains sukan.

Tiada ulasan: