02 Februari, 2009

Azizulhasni Dapat Tawaran - Written by Utusan Malaysia


KUALA LUMPUR - Pelumba trek negara, Azizulhasni Awang terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dijemput khas menyertai liga keirin terbesar dunia di Jepun pada bulan April ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab berkata, jemputan khas itu diterima pihaknya beberapa hari lalu daripada Persekutuan Keirin Jepun.

"Ini merupakan kali pertama Azizulhasni menerima jemputan istimewa seperti ini dan akan pergi bertanding di sana bersama Josiah Ng.

"Bagi pihak PKBM, ia satu pengiktirafan yang membanggakan kita kerana perlumbaan itu hanya menjemput pelumba keirin terbaik dunia sahaja," ujarnya ketika dihubungi, semalam.

Selain menawarkan hadiah wang tunai yang lumayan, liga keirin Jepun ini dianggap paling berprestij dan terbaik di dunia.

Sebanyak enam siri perlumbaan akan dipertandingkan pada liga keirin tersebut di mana Azizulhasni hanya akan menyertai siri pertama sebagai permulaan.

Liga keirin Jepun itu dijadual bermula selepas berakhir kejohanan dunia di Pruskow, Poland (25-29 Mac).

Ketika ini, Azizulhasni masih kekal sebagai pelumba keirin no. 1 dunia berdasarkan ranking terbaru yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bulan ini.

1 ulasan:

GregChai berkata...

Tahniah ! teruskan usaha harumkan nama Malaysia