11 September, 2008

PELUMBA TREK MAMPU TAKLUK DUNIA: BEASLEY

Azizulhasni Awang

Oleh Azidan Nahar Berita Harian.

MALAYSIA mampu menjadi kuasa besar dalam sukan berbasikal trek jika memiliki jurulatih yang ramai dan atlit yang 'tidak malu' untuk menonjolkan diri sebagai antara yang terbaik di dunia.Ketua Jurulatih Trek Negara, John Beasley, berkata antara kelemahan utama yang dilihat sejak dia mengendalikan skuad kebangsaan selepas Sukan Asia Doha 2006 ialah sikap kurang yakin pelumba itu sendiri. "Masalah paling besar ialah rasa yakin pelumba itu sendiri, mereka tidak percaya diri sendiri," katanya selepas mengadakan kursus bersama jurulatih kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, semalam.
Beasley yang masih menantikan penyambungan kontrak bersama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) berkata, Malaysia juga perlukan jurulatih yang ramai bagi membimbing atlit muda. Katanya, jika ada lebih ramai jurulatih bertauliah, mereka mampu memberi bimbingan supaya atlit negara boleh menjadi kompetitif ketika bersaing dengan jaguh-jaguh dunia yang lain. "Memang ia tidak akan berlaku dengan cepat tetapi kunci utama ialah ada ramai jurulatih dan apabila ianya ada, kita akan sampai di sana. Ia sesuatu yang panjang dan perlukan struktur yang mantap.
"Sasaran saya sehingga 2010 ialah untuk menjadikan atlit negara ini antara yang terhebat. Kita perlu bekerja keras dan struktur latihan yang bagus, inilah jasa yang saya dapat tinggalkan," katanya. Kontrak Beasley bersama skuad negara tamat selepas Sukan Olimpik Beijing bulan lalu dan dia kini masih menantikan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MNCF dan MSN sama ada akan memperbaharui kontraknya. Beasley berjaya membantu skuad berbasikal trek Olimpik negara terutama pelumba muda, Azizulhasni Awang menampilkan potensi tersendiri apabila menjadi pelumba tunggal Asia mara ke suku akhir acara pecut individu dan memiliki prospek untuk kilauan pingat di London 2012. Sementara itu, Pengarah Cawangan Pelapis MSN, Jefri Ngadirin menjelaskan, MSN sudah menyediakan pelbagai program untuk lahirkan pelapis bagi skuad kebangsaan. Oleh itu, katanya, 13 pusat latihan untuk atlit lebuh raya sudah ditubuhkan selain dua akademi untuk acara trek di Ipoh dan Pulau Pinang selain satu lagi sedang dalam perancangan di Dungun, Terengganu. "Setakat ini sudah ada ramai atlit pelapis yang sudah bersedia bagi menggantikan atlit senior. Tumpuan kita selepas ini ialah bagi mendapatkan pingat di peringkat antarabangsa," katanya sambil menjelaskan MSN dan MNCF bercadang menganjurkan tiga kejohanan peringkat tempatan tahun depan bagi acara trek.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Orang Dungun sokong kalu ada veledrom sini,sebab Pantai Timur tak ada lagi.Kalu nak buat biar lah lawa lawa sikit jangan buat lebih kurang jah.
Orgdungun